Persiapan Untuk Belajar Menjahit Sendiri

Persiapan sebelum memulakan aktiviti menjahit adalah sangat penting terutama sekali jika anda mahu belajar menjahit sendiri. Ia bertujuan agar anda bersedia dan berasa yakin semasa proses pembelajaran menjahit nanti. Selain itu, ia juga bagi mengurangkan risiko kesilapan atau kesalahan yang mungkin berlaku jika tidak membuat persiapan. Berikut persiapan yang perlu anda lakukan sebelum memulakan belajar menjahit sendiri.

1. Siapkan alat Dan Bahan Untuk Belajar Menjahit

Kini tiba masanya anda menyediakan peralatan jahit asas dan alat jahit tambahan yang diperlukan dalam proses pembelajaran menjahit pakaian. Berikut adalah Peralatan yang perlu anda sediakan

a. Alat Jahit Asas.

Alat jahit asas adalah peralatan jahitan utama yang memiliki fungsi dan kegunaan yang sangat penting dalam aktiviti menjahit. Peralatan yang dimaksudkan ini ialah mesin jahit.

Mesin jahit terbahagi kepada 2 kategori iaitu mesin jahit industri dan mesin jahit portable atau mudah alih. Kegunaan mesin jahit industri adalah untuk kerja menjahit dalam kuantiti yang banyak, kebiasaannya ia untuk kegunaan perniagaan dan kilang. Manakala mesin jahit mudah alih digunakan untuk kerja jahitan yang ringan dan sesuai untuk kegunaan dirumah.

Bagi mereka yang baru dalam bidang menjahit ini, dicadangkan untuk memiliki mesin jahit jenis mudah alih. Ini kerana ia mudah dikendalikan, mempunyai pelbagai jenis jahitan yang diperlukan dan lebih murah berbanding dengan mesin jahit industri.

Terdapat pelbagai jenis mesin jahit mengikut kesuaian dan keperluan jahitan yang kita perlukan. Untuk pemula yang nak belajar menjahit sendiri, mesin jahit yang utama adalah mesin jahit lurus kemudian disusuli mesin jahit tepi.

b. Alat Jahit Tambahan

Selain dari alat jahit asas, terdapat juga alat jahitan lain yang diperlukan untuk menyokong dalam aktiviti jahit menjahit ini.

Beberapa alat jahit tambahan diperlukan. Antaranya alat untuk mengukur, alat untuk membuat pola, alat pemotong, alat pemindah tanda, alat pelengkap menjahit dan alat penekan.

  • Alat untuk mengukur iaitu pita ukur digunakan sebagai mengambil ukuran badan. Pita ukur diperlukan untuk mengambil ukuran badan oleh kerana ia besifat boleh lentur dan fleksibel.
  • Alat membuat pola diperlukan untuk mendraf atau melakar pola baju. Peralatan utamanya adalah pelbagai jenis pembaris, pensil atau pen, buku catitan ukuran, kertas pola, dan juga boneka patung jahit.
  • Alat pemotong diperlukan untuk memotong kain dan juga bahan lain ketika membuat pakaian. Contoh alat pemotongan adalah gunting yang dapat dibahagikan kepada beberapa jenis mengikut kegunaanya.
  • Alat pemindah tanda diperlukan untuk memindahkan tanda dan garisan pola pada kain. Antaranya ialah kapur jahit, pensil kapur, skirt marker, stileto, kertas karbon dan roda surih.
  • Alat pelengkap jahitan diperlukan untuk melancarkan proses menjahit. Peralatan ini terdiri daripada jarum tangan, jarum peniti, jarum mesin jahit, penetas dan sebagainya.
  • Alat menekan diperlukan untuk memberikan bentuk tetap pada bahagian pakaian dengan cara disetrika. Alat yang digunakan untuk menekan terdiri daripada sterika, meja sterika dan alat bantu sterika.

Baca juga artikel : 7 Kategori Peralatan Jahitan

c. Kain perca

Selain menyediakan peralatan jahitan yang disebutkan diatas, tidak ketinggalan juga kain perca atau bahan patchwork perlu disediakan juga. Tujuannaya adalah untuk membuat bahan percubaan dan latihan semasa anda belajar menjahit nanti.

Ini kerana, sudah pastinya anda perlu latihan yang banyak dan percubaan yang kerap untuk memahirkan teknik jahitan anda.

Elakkan dari menggunakan kain jenis chiffon atau bahan yang jenis memeri semasa membuat latihan menjahit anda. Ini bertujuan untuk menghindari dari kesulitan atau kesukaran semasa menjahit. Sebaliknya gunakan kain perca yang mudah dijahit seperti kain cotton atau bahan diperbuat daripada kapas.

2. Belajar Menjahit Tentang jenis-jenis jahitan

Mulakan dengan belajar teknik menjahit yang diperlukan untuk menjahit pakaian. Pelajari teknik jahitan asas dengan menggunakan mesin jahit. Contohnya seperti menjahit lurus, teknik mengunci jahitan atau mematikan jahitan, teknik jahitan melengkung dan teknik jahitan berbucu.

Seterusnya, pelajari teknik jahitan tangan bagi melengkapkan teknik jahitan pakaian ini . Antara jenis-jenis jahitan tangan adalah seperti berikut :

  1. Jahitan kia. Ia adalah jahitan yang digunakan untuk menjahit kelim meretas. Ia juga digunakan untuk memulakan dan mematikan atau mengunci jahitan tangan. Jahitan ini kukuh rapat dan seperti jahitan di mesin
  2. Jahitan jelujur. Ia digunakan untuk membaiki kelepet merentas.
  3. Jahitan sembat kebiasaanya digunakan untuk menetapkan kelepet. Jahitan ini halus, rapat dan kukuh serta boleh dilihat dari sebelah luar pakaian. Kebiasaanya juga digunakan untuk mengemaskan dan menjahit kelepet baju kurung.
  4. Jahitan lilit kemas. Ia digunakan untuk mengemaskan tepi fabrik. Jahitan ini juga digunakan untuk menjahit butang katub, cangkuk dan palang.
  5. Jahitan lubang butang. Ia digunakan untuk menjahit lubang butang, butang katub, cangkuk dan palang.
  6. Jahitan silang pangkah. Ia digunakan untuk menjahit kelepet, lapik, pita zip serta digunakan sebagai jahitan salaman.
  7. Jahitan insang pari. Ia digunakan untuk mengemis tepi fabrik dan sebagai jahitan perhiasan untuk menjahit motif.

Sekiranya anda mahu belajar asas menjahit dengan menggunakan mesin jahit, klik disini untuk maklumat lanjut. Semoga artikel ini bermanfaat kepada anda bagi membuat persiapan anda belajar menjahit secara sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *